Wednesday, September 9, 2009

Kejar Kebendaan Tergadai Kebahagiaan

Kejar Kebendaan Tergadai Kebahagiaan

Dalam masyarakat Melayu sebelum merdeka atau lebih awal dari itu,
orang-orang Melayu umumnya belum begitu maju. Mereka tinggal di
kampung-kampung. Hidup mereka kebanyakannya sebagai petani, nelayan dan
kerja-kerja kampung biasa seperti bercucuk tanam dan menternak ayam
itik, membela kambing, lembu dan kerbau.

Mereka mundur dalam pelajaran dan dalam ilmu pengetahuan terutamanya
ilmu yang berbentuk duniawi. Ilmu yang mereka pelajari terhad kepada
membaca Quran, fardhu ain dan sedikit-sedikit ilmu agama lain yang
diajarkan oleh tok-tok lebai dan tok-tok guru kampung.

Kerana adanya pimpinan dan asas-asas agama ini dan kerana mereka tidak
terlalu terdedah dengan hal-hal dunia dan tidak terlalu mengejar dunia,
maka fahaman dan roh Islam mereka tebal. Cara hidup mereka banyak
melambangkan ukhwah dan cara hidup Islam. Wujud kasih sayang, kesatuan,
perpaduan, kerjasama dan rasa bersama di kalangan mereka. Mereka hidup
saling bantu-membantu. Satu kampung itu ibarat sebuah keluarga yang
besar. Masing-masing berkasih sayang dan rasa bertanggungjawab terhadap
satu sama lain. Kalau ada orang yang bertandang ke rumah orang lain dan
dilihatnya atap rumah orang itu bocor, maka tanpa perlu diminta, dia
akan terus membaiki atap tersebut. Atau kalau dilihatnya tangga rumah
orang itu patah, maka dia akan terus memperbaikinya. Dirasakannya bahawa
rumah orang lain itu seperti rumahnya sendiri.

Kalau ada kaum ibu yang datang menziarah dan kebetulan tuan rumah sedang
menganyam tikar ketika itu, maka dia pun terus duduk dan sama-sama
menganyam tikar itu sambil mereka berbual-bual.

Di kala musim buah, sama ada rambutan, manggis, jambu, kundang, kuinin,
pulasan dan sebagainya, semua pokok yang berbuah jadi hak bersama tidak
kira pokok siapa. Semua orang kampung boleh datang makan buah di pokok
sampai kenyang dengan syarat tidak dibawa balik ke rumah (kerana itu
sudah dianggap tidak manis atau tidak beradab).

Kalau ada orang yang menangkap atau menimba ikan dan dapat banyak ikan,
semua ikan itu akan diagih-agihkan kepada semua keluarga. Ikan itu tidak
dijual atau dikomersialkan.

Tok-tok lebai dan tok-tok guru kampung mengajar agama secara percuma.
Tidak ada orang mengambil upah atau mengenakan yuran kepada murid-murid
mereka. Malahan, tok-tok lebai dan tok-tok guru itu pula yang
mengeluarkan belanja untuk makan minum murid-muridnya itu.

Kalau ada anak-anak yang nakal atau yang berbuat salah, sesiapa sahaja
yang nampak boleh memarahi atau kalau perlu memukulnya untuk
mengajarnya. Tidak payah tunggu ayahnya sendiri bertindak. Anak-anak di
kampung dirasakan sebagai anak bersama dan semua orang kampung
bertanggungjawab mendidik mereka. Tindakan ini tidak akan mencacatkan
hati ayah atau ibu anak-anak berkenaan malahan mereka merasa bahagia
kerana ramai yang mengambil berat tentang anak mereka. Kanak-kanak yang
nakal itu pula takut untuk mengadu kepada ayahnya kerana kalau mengadu,
selalunya ayahnya akan tambah lagi dengan sebatan.

Boleh ada dalam satu kampung semua golongan, iaitu golongan kaya,
golongan pertengahan dan golongan miskin. Ini tidak berlaku sekarang.
Taman-taman perumahan sekarang ini dibina berasingan. Ada taman untuk
golongan kaya, ada taman untuk golongan pertengahan dan ada taman untuk
golongan miskin.

Dahulu, kalau ibu bapa menghantar anak mengaji Quran, mereka hadiahkan
kepada guru sebatang rotan sambil berkata, "Kalau anak saya nakal,
rotanlah dia dengan rotan ini." Sekarang merotan murid sudah jadi
satu pantang-larang.

Kalau ada orang berjalan-jalan tidak pakai songkok dianggap kurang adab.
Sekarang, tidak pakai songkok sudah jadi satu budaya bahkan ulama pun
jalan bergondol kepala.

Dahulu, orang-orang perempuan terutama perempuanperempuan muda, tidak
akan keluar rumah kecuali dengan keluarga. Sekarang, keluar rumah
seorang diri atau ditemani oleh orang lain yang bukan saudara sudah
menjadi perkara biasa. Jalan berdua-duaan lelaki perempuan yang bukan
muhrim sudah jadi budaya.

Dahulu, dalam masa pertunangan, jangan mimpi hendak bertemu, lebih-lebih
lagi hendak dibawa berjalan-jalan. Sekarang, belum bertunang pun sudah
berjalan berdua-duaan, betapa pula setelah bertunang.

Hidup ketika itu bergotong-royong dalam semua hal sama ada dalam
mengadakan majlis kenduri, menanam dan menuai padi, membina rumah dan
sebagainya. Sekarang ini, semuanya perlu diupah kerana hidup nafsi-nafsi
yang telah membudaya dan menebal.

Kalaupun ketika itu ada orang yang berbuat maksiat seperti berjudi dan
sebagainya, mereka menyorok-nyorok takut dilihat dan diketahui orang.
Sekarang orang berbuat maksiat terang-terangan. Mereka megah pula dengan
maksiat itu.

Orang-orang alim dan para guru sangat dihormati dan disegani. Alim ulama
selalu diziarahi orang. Orang ramai selalu membawa hadiah untuk
guru-guru. Sekarang orang tidak peduli.

Anak-anak muda kampung yang bekerja sebagai askar atau polis, kalau
mereka balik bercuti, bukan sahaja akan menziarahi ibu bapa mereka
bahkan juga tuan-tuan guru dan orang-orang penting kampung. Kalau tidak,
dia dianggap tidak beradab. Sekarang ziarah ibu bapa sahaja, orang lain
tidak.

Demikianlah hidup masyarakat Melayu sebelum merdeka. Sungguh indah,
sungguh manis, sungguh tenang dan sungguh bahagia.

Sekarang ini setelah merdeka, orang Melayu sudah maju sedikit. Tidaklah
maju sangat tapi majulah sedikit dari dahulu. Pelajaran dan ilmu
terutama ilmu dunia sudah bertambah. Taraf ekonomi juga sudah meningkat
walaupun setakat makan gaji sahaja dan tidaklah sangat di bidang
perniagaan, perdagangan atau perindustrian. Walaupun dunia tidak
dipunyai tetapi sudah boleh dirasai. Tetapi harga dan pengorbanan untuk
kemajuan yang sedikit ini terlalu mahal.

Di dalam kita merebut dunia, kita telah mengabaikan roh Islam kita. Kita
telah meninggalkan cara hidup Islam kita. Kita terpaksa korbankan kasih
sayang, persaudaraan, kesatuan, perpaduan dan rasa bersama kita. Kita
terpaksa menghadapi krisis, pergeseran, pergaduhan, curiga-mencurigai
dan permusuhan. Cara hidup sudah nafsi-nafsi. Tidak ada lagi ukhwah
sesama kita. Kita sudah hilang kebahagiaan dan ketenangan seperti mana
yang pernah kita rasakan dahulu yang lebih mahal harganya dari kemajuan
kebendaan yang sedikit ini.

No comments:

Post a Comment